Iklan Saya Klik

Wednesday, March 18, 2015

Cerita Abang Abdul Pata

Abang Abdul Pata merupakan anak kedua Datu Temenggong Abang Mersal dari isteri beliau yang pertama. Sebagai seorang muda Abang Pata dikatakan mempunyai sikap suka menjalajah kehutan belantara dan lautan mencari hasil-hasil hutan dan laut secara persendirian. Kadang kala beliau juga bertapa digua-gua sekeliling Bukit Siol dan Gunung Santubong sambil mengamalkan ilmu mempertahankan diri. Sedikit sebanyak beliau mendapat ilmu tersebut daripada ayahanda beliau yang merupakan seorang kebal dan berani. Adalah diceritakan juga Abang Pata membawa bekal makanan untuk beberapa hari semasa bertapa. Tiada dikatahui apa ilmu yang beliau tuntuti dan dengan siapa beliau berguru semasa bertapa. Adalah dipercayai Abang Pata mempeolehi ilmu yang membenarkan beliau berhubung dengan orang bunian atau orang ‘kebenaran’ dan memeliki ilmu gharib. Dengan kata lain beliau boleh menghilangkan diri daripada penglihatan orang.

Adalah diceritakan Abang Pata menetap di Santubong selepas mendirikan rumah tangga dengan isteri beliau pertama benama Dayang Ra’biah. Mereka dikurniakan dua orang anak, seorang anak perempuan bernama Masruja atau Saroja dan anak lelaki bernama Abang Osman. Selepas anak perempuan beliau meninggal dunia dalam usia muda, mereka tidak lagi mendapat anak. Merasa agak sedih beliau pun belayar untuk menyenangkan hati ke pulau-pulau di perairan Sarawak hinggalah ke Tanjung Datu. Kemudian beliau belayar menuju ke Pulau Serasan yang berada diantara Tanjung Datu dan Pulau Bunguran di Lautan China Selatan (Natuna Archipalago). Di sanalah beliau menghawini gadis tempatan bernama Masmutu sebagai isteri kedua.. Mereka hanya dikurniakan dengan seorang anak lelaki bernama Abang Abdul Rahman. Apabila anak mereka sudah meningkat umur, maka dibawa Abang Pata keluarganya balik ke Santubong. Oleh kerana ingin sangat untuk mendapat anak perempuan, maka Abang Pata pun diizinkan oleh ister-isteri beliau untuk mengahwini Dayang Sa’diah. Atas kehendak Illahi, Abang Pata dikurniakan lima orang anak bernama Abang Bostan, Dayang Aishah, Dayang Hasyiah, Abang Brahim atau Ibrahim dan Abang Haji Yahya.

Tidaklah dikatahui sama ada Abang Pata dilantik menjadi Ketua Kampung Santubong pada masa itu atau tidak. Akan tetapi beliau amat dihormati oleh penduduk kampung, mungkin oleh kerana beliau anak kepada Datu Temenggong Abang Mersal, wakil pentadbir kerjaan Brunei pada masa itu. Walau bagaimana pun Abang Pata gemar belayar di rantau lautan Santubong menagkap ikan dan menghalang kegiatan lanun yang memang berlaluasa pada masa itu. Kegiatan lanun berkembang oleh sebab kegiatan peniagaan pada masa itu semakin maju. Bob Recee dalam buku beliau ada menyatakan bahawa sebuah kapal layar British telah ditawan oleh lanun dari Sambas berhampiran dengan Pulau Satang Besar pada tahun 1811. Bukan itu sahaja lanun juga pernah menceroboh kampung-kampung di peairan wilayah Sarawak yang menyebabkan orang hidup dalam ketakutan. Abang Pata dengan beberapa pengikutnya belayar dari Santubong ke pulau-pulau Satang dan Talang-talang bagi membentras cubaan lanun hendak merompak kapal pedagang dan sebagainya. Adalah diceritakan Abang Pata dengan kuasa gharib beliau dipercayai ‘melompat’ dari Santubong ke pulau-pulau berhampiran dan dengan sekelip masa dapat mengagalkan cubaan lanun hendak merompak. Ini membuat lanun amat marah dan nekad hendak membunuh Abang Pata.

Oleh yang demikian lanun pun membuat rancangan dan mengingtip pergerakan Abang Pata dan pengikutnya. Pada masa itu juga Abang Pata dengan dua orang anak beliau yang telah dewasa iaitu Abang Osman dan Abang Abdul Rahman mengusaha kebun kelapa di Pulau Talang-talang dan juga di Pulau Satang Besar serta dibantu oleh penduduk Bidayuh dari Sematan dan Lundu. Maka lanun pun bermaufakat untuk memperangkapkan Abang Pata semasa beliau dan pengikutnya berada di Pulau Talang-talang. Pulau tersebut agak jauh dari tanah besar dan tidak mudah Abang Pata dapat melepaskan diri atau pun mendapat pertolongan. Jadi para lanun pun membuat pesiapan dan menunggu masa yang sesuai untuk menyerang Abang Pata di Pulau Talang-talang.

Masa ditunggu pun tiba, maka para lanun pun menuju ke pulau tersebut sebelum subuh apabila orang semua masih nyenyak tidur. Apabila sampai, pulau tersebut pun diawasi dari setiap penjuru supaya tiada siapa boleh dapat melarikan diri. Apabila pengikut Abang Pata melihat para lanun sudah berada ditebing pasir, maka mereka pun bertakutan oleh kerana melihat bilangan lanun begitu ramai. Oleh kerana tiada apa yang mereka boleh buat hanya cuba mempertahankan diri. Para lanun yang berada di pasir bersiap sedia menunggu arahan untuk menyerang daripada ketua mereka. Sambil menunggu, pengikut Abang Pata pun bertanya sesama sendiri dimanakah Abang Pata berada pada masa itu. Tidak dikatahui oleh sesiapa Abang Pata telah pun berada dalam kabin bathera ketua lanun. Mereka yang berada dalam bahtera tersebut hanya mendengar suara ketua mereka sedang bercakap-cakap dengan seseorang yang mereka tidak kenali. Tiada siapa diantara mereka telah diarah oleh ketua lanun untuk masuk kedalam kebin. Jadi mereka pun berasa hairan siapa agak gerangan orang yang sedang berbincang dengan ketua mereka dengan suara yang agak kuat mencerminkan kemasraan diantara kedua orang tersebut. Mereka mendengar dengan jelas ketua lanun ketawa dengan begitu lantang seolah-olah kedua manusia itu baru berjumpa selepas berpisah sekian lama. Maka keadaan berjaga-jaga dan tegang bertukar menjadi tenang dan menghairankan yang lain apabila melihat suasana yang demikian.

Tidak berapa lama kemudian timbulah dua orang manusia daripada kebin. Seorang daripada mereka ialah Abang Pata, musuh yang lanun kehendaki. Apabila melihat kedua-dua mereka begitu mesra bercakap-cakap seperti dua sekawan, maka para lanun dan juga pengikut Abang Pata berasa hairan apa sebenar yang telah belaku dalam masa yang singkat penuh dengan debaran, tegang bercampur dengan perasaan takut. Kini keadaan telah bertukar sebaliknya. Ketua lanun yang memang berwatak ganas, garang dan tidak berperikemanusiaan telah bertukar menjadi seorang yang periang, peramah dan berbudi bahasa. Inilah yang menakjubkan. Walau bagaimana pun suasana telah bertukar menjadi tenang dan perhatian semua tertumpu kepada dua manusia yang bermusuhan. Selepas bersalam-salaman ketua lanun pun mengarah pengikutnya siap sedia untuk berundur dari pulau tersebut. Maka semua yang hadir berasa hairan dan tertanya-tanya apa yang telah berlaku selepas berminggu-minggu membuat persiapan untuk membunuh Abang Pata yang berakhir dengan tanpa mencapai maktalamat. Bagi pengikut Abang Pata mereka merasa bersyukur kerana tiada tumpah darah berlaku. Itulah kehebatan Abang Pata yang menjadi lawan sebagai kawan. Selepas kejadian itu tidaklah berlaku apa-apa pencerobohan dan rompakan di kawasan di wilayah Sarawak dimana Abang Pata telah dikenali memunyai kepentingan.

Cerita Abang Pata amat menakjubkan. Selain mempunyai tiga orang isteri, beliau juga dikatakan beristeri dengan Puteri Gunung Sejenjang yang bernama Puteri Nila Kasuma. Oleh kerana sayang dan setia dengan Abang Pata, puteri tersebut menjelma sebagai se ekor kucing yang amat comel, manja dan cantek. Dengan berbuat demkian Puteri Nila Kasuma dapat bersama suami beliau sepanjang masa. Ini membuat isteri Abang Pata ketiga iaitu Dayang Sa’diah merasa marah kepada suami beliau kerana mementingkan se ekor kucing peliharaan lebih daripada isteri-isteri beliau yang lain. Pada satu hari Dayang Sa’diah hilang sabar melihat tabi’at Abang Pata begitu sayang dan lebih mengambil perhatian terhadap Puteri Nila Kasuma. Dayang Sa’diah pun mengambil kucing tersebut dan terus membalingkan keluar dari rumah. Di samping itu juga Dayang Sa’diah memecah sebuah tampayan yang berisi minyak kelapa yang telah dihadiahkan oleh Puteri Nila Kasuma kepada suami beliau. Tidak dikatahui oleh sesipa bahawa tampayan itu adalah tampayan sakti. Apa-apa juga yang diisi didalamnya tidak akan menjadi habis. Dengan sebab itulah minyak kelapa yang disimpang oleh Dayang Sa’diah dalamnya tidak habis-habis walaupun banyak mana telah diambil dan dijual. Sekiranya wang dan emas disimpang tentu sekali keturunan Abang Pata menjadi kaya raya sehingga anak cucu.

Selepas kejadian iitu Puteri Nila Kasuma tidak lagi menjelma dan adalah dipercayai puteri tersebut telah kembali ditempat asalnya di Gunung Sejenjang. Dan juga orang-orang kampung pun bermimpi iaitu keturunan Abang Pata tidak akan menjadi kaya didunia kerana telah ‘membuang’ rezeki daripada tampayan sakti itu. Kerana tersangat sedih Abang Pata pun membawa diri ke Pulau Talang-talang bersama anak beliau dua orang yang telah dewasa. Di sana mereka mengusahakan kebun kelapa disamping memungut telur penyu waktu laut tidak bergelombang. Hasil buah kelapa dan juga telur penyu dibawa mereka ke Kuching untuk mendapat sedikit pendapatan. Apabila anak-anak Abang Pata telah cukup dewasa, maka beliau membahagikan hartanah di Pulau Talang-talang kepada dua anak beliau yang bernama Abang Osman dan Abang Abdul Rahman. Manakala Pulau Satang Besar dan satu pertiga dari hasil telur penyu diberi Abang Pata kepada James Brooke. Adalah diceritakan bahawa orang tempatan yang pertama dijumpa James Brooke setibanya di Tanjung Datu pada 1hb Ogos 1839 dan kemudian singgah di Pulau Talang-talang untuk memperbetulkan halatuju kompas dan carta pelayaran ialah Abang Pata. Beliaulah membantu James Brooke ke Santubong dan seterusnya ke Kuching untuk berjumpa dengan Raja Muda Hashim dua minggu kemudian.

Mungkin dalam perjumpaan yang amat singkat itu telah membuah satu persahabatan yang erat diantara mereka berdua. Dan apabila James Brooke menguasai wilayah Sarawak mugkin Abang Pata mendapat layanan yang istemewa daripada James. Adalah tidak manasabah memikirkan bagaimana Abang Pata boleh begitu murah hati hendak memberi hartanah kepada James Brooke yang langsung tidak ada kaitan darah sama sekali dengan Abang Pata. Pulau Sampadi pula telah diberi Abang Pata kepada Residen Bahagian Kuching pada masa itu.

Apabila Abang Pata menjadi tua beliau pun menetap di Kuching dan meninggalkan urusan kebun kelapa dan hasil telur penyu kepada dua orang anaknya yang menetap di Pulau Talang-talang. Selepas Abang Pata meninggal dunia semua hartanah di Pulau tersebut dimiliki oleh Abang Osman dan Abang Abdul Rahman dan begitu juga hasil jualan telur penyu. Apabila Abang Abdul Rahman sudah cukup mengumpul duit daripada penjualan hasil pulau tersebut termasuk penjualan beberapa bidang tanah, maka beliau pergi menunai Rukun Islam ke lima menunaikan haji ke Tanah Suci. Maka segala urusan hartanah dan telur diserah kepada Abang Osman. Maklumlah masa dahulu menunai Haji mengambil masa berbulan-bulan lamanya. Atas timbul salah faham Abang Osman tidak ada menghantar satu pertiga bahagian telur penyu kepada James Brooke. Maka ini membuat James Brooke tidak senang hati dan mengarah Datu Temengggong Abang Matassan, iaitu adik tiri Abang Pata menyiasat apa yang telah berlaku. Memandangkan bahawa telur penyu adalah anugerah Tuhan dan bukan hasil titik peluh Abang Osman, maka Datu Temenggong Matassan berpendapat supaya hasil tersebut dinikmati oleh orang ramai. Beliau pun membuat satu cadangan supaya hasil daripada telur penyu diguna sebagai dana untuk kebajikan orang-orang Islam pada masa itu, terutama sekali untuk mendiri masjid dan madrasah. Maka kerjaan James Brooke pun bersetuju atas cadangan itu. Seperti dikatahui hingga sekarang hasil telur penyu adalah diguna untuk maksud yang sama apabila Rang-Undang-undang Lembaga Penyu Negeri Sarawak dilulus pada tahun 1957. Kemudian atas budibicara Datu Temenggong Matassan hartanah di Pulau Talang-talang Besar dan Kecil dibahagi sama-sama termasuk lima orang anak Abang Pata dari isteri beliau yang ketiga. Jadi kedua-dua pulau Talang-talang pada masa sekarang adalah diwarisi oleh keturunan Abang Pata.

Menyentuh cerita Bukit Sejenjang, ada cerita menyatakan Bukit tersebut mendapat nama daripada seorang nakhoda Cina yang bernama Sin Jin Jong. Mula-mula nama bukit ini ialah Lidi Balu manakala Gunung Santubong bernama Lesong Balu. Pada satu ketika zaman dahulu Bukit Sejenjang ialah sebuah gunung seperti juga Gunung Santubong. Kedua-dua gunung tersebut dihuni oleh dua puteri orang bunian yang rajin berkerja dan cantek manis. Puteri Santubong berusaha dalam bidang tenunan kain manakala Puteri Sejenjang menumbuk damar dengan lesong. Seperti lazimnya dibuat oleh kaum wanita zaman dahulu ejek-menejek, sindir-menyindir dan muji-memuji adalah perkara biasa dilakukan sesama mereka selain daripada berpantun, menyayi dan sebagainya.


Pada satu hari Puteri Sejenjang mengejek Puteri Santubong bahawa kerja bertenun adalah kerja sia-sia sahaja sebab ianya lambat mendatang hasil dan memerlu penumpuan yang rapi dengan membongkok badan. Oleh yang demikian Puteri Santubong boleh menjadi bongkok sebagai Nenek Kebayan dengan rupa yang hodoh. Puteri Santubong kamudian membalas dengan mengatakan kerja Puteri Sejenjang sebaliknya yang akan menjadi puteri itu hilang kewanitaan oleh sebab banyak menguna tenaga menumbuk damar, kerja yang sepatutnya dilaku oleh kaum lelaki. Gurau-senda ini bertambah rancak hingga membuat Puteri Sejenjang naik marah. Dengan menguna lesong ditangan beliau pun menumbok Gunung Santubong menjadi berbelah dua dibahagian atas. Apabila Puteri Santubong melihat bahawa tempat kediaman beliau telah dirosakan, maka beliau pun naik radang lalu menguna lidi peralatan tenunan memotong Gunung Sejenjang beberapa kali dari atas kebawah seperti memotong pohon pisang. Maka terpelantinlah potongan itu kedalam laut dan terus menjadi pulau-pulau seperti yang dilihat hari ini iaitu Pulau Talang-talang, Pulau Satang Besar dan Kecil, Pulau Salak dan Pulau Kera. Maka Gunung Sejenjang tidak lagi setinggi Gunung Santubong sebab telah dipotong menjadi bukit. Maka Puteri Sejenjang hilang tempat kediaman dan dikatakan beliau berpindah ke sebuah gunung yang dinamakan Gunung Tebang. Begitulah cerita orang-orang tua mengenai dua puteri yang berketurunan dewa-dewa ini sehingga tercipta sebuah lagu yang meriwayatkan peristewa mereka berdua.

No comments:

Post a Comment