Iklan Saya Klik

Monday, September 21, 2015

Sedikit Bingkisan Mengenai Hubungan Sheikh Haji Othman Abdul Wahab dan Pulau Natuna.



Pulau Natuna adalah sebuah pulau yang terlalu dekat dengan Sarawak. Bahkan, tutur kata mereka ada seperti bahasa Sarawak. Namun sejarah pemutusan nya berlaku ketika konfrantasi Malaysia Indonesia , Bila Malaysia tidak mempedulikan Pulau ini. Pihak Indonesia meletakkan kapal perang mereka dan pulau ini terus menjadi hak milik Indonesia.

Sejarah ekonomi di Natuna, dapat penulis ringkaskan seperti berikut, bahawa:
Di antara syarikat/perusahaan niaga itu yang masih ada sampai sekarang hanyalah Ahmadi & Co. Midai. Ahmadi & Co. Midai dalam masa yang panjang sangat terkenal, kerana mempunyai cawangan di Singapura, yang banyak menerbitkan pelbagai jenis bahan cetakan.
Perlu juga disentuh di sini bahawa di antara sekian ramai yang memasukkan modal/saham dalam Ahmadi & Co. Midai ataupun cawangan di Singapura, terdapat juga pelabur yang berasal dari Patani dan Kelantan.
Dengan berdirinya Cawangan Ahmadi & Co. Midai di Singapura, atas kebijakan ketuanya Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong, bermula dari agen kelapa kering (kopra), hasil laut, dan usaha tenunan kain Terengganu, hingga terkenal sebagai mathba'ah/ press dan penerbit.
Secara tidak langsung, ini bererti mewakili keintelektualan masyarakat Tukong Pulau Tujuh atau sekarang disebut Natuna, di gelanggang dunia niaga serantau. Selain itu seorang ulama besar Sarawak yang terkenal di Mekah, iaitu Sheikh Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak pernah memiliki sebidang kebun di Pulau Midai yang diurus oleh Ahmadi & Co. Midai.
Jika kita menoleh kebelakang, pelayaran pada zaman silam yang menggunakan tongkong atau wangkang dari negeri China, perahu ukuran besar yang berasal dari Terengganu, negeri Bugis dan penduduk Natuna sendiri yang melalui Laut China Selatan, sudah pasti akan melalui ataupun singgah di Natuna.
Pada zaman penggunaan tongkong/wangkang atau perahu, peranan kepulauan di Laut China Selatan itu adalah sangat penting terutama untuk mendapatkan bekalan air. Lama kelamaan wujudlah perdagangan antara pelbagai daerah. Bahkan ramai orang-orang Terengganu datang di daerah tersebut untuk berniaga menggandar pelbagai jenis kain, dan ia berjalan hingga tahun 1950an. Syarikah Ahmadi & Co. Midai termasuk perintis awal memiliki sebuah kapal di daerah Natuna yang dinamakan Kapal Karang.
Sepanjang sejarah pelayaran, penggunaan kapal untuk daerah Natuna mengalami dua kali tergendala, yang pertama ialah menjelang perang dunia yang kedua dan beberapa tahun sesudahnya. Keduanya pula ialah ketika terjadi Konfrontasi Indonesia-Malaysia (1963) berjalan terus hingga beberapa tahun sesudahnya.
Pada masa perang dunia yang kedua, barang makanan banyak dibawa dengan perahu dari Kuala Terengganu dan Kuching, Sarawak. Perhubungan dengan Singapura yang menggunakan kapal boleh dikatakan terputus. Ketika konfrontasi terdapat pertukaran makanan secara garam (illegal) dengan Singapura dan pelabuhan kecil Sematan di Sarawak, yang diangkut dengan motor-motor kecil ukuran mulai 4 tan dan yang paling besar hanya 40 tan. Dalam masa konfrontasi pula mulai banyak hubungan perniagaan dengan Kalimantan Barat melalui pelabuhan Singkawang dan Pemangkat dalam Kabupaten Sambas.
Walaupun selama ini betapa peritnya derita, namun akhir-akhir ini Natuna dipandang sangat berpotensi kerana terdapatnya minyak dan gas. Paling penting pula hasil emas hijau, bunga cengkih, yang mengundang kedatangan pengusaha besar dari Jawa ke Natuna.
Datang pula kapal-kapal dari Taiwan, Hong Kong, dan Thailand memburu ikan di laut Natuna, ada yang secara sah (legal) tetapi lebih banyak yang bercorak illegal. Ada perniagaan ikan hidup, ada ikan mati yang diawetkan. Ada yang langsung ditangkap di laut, ada pula tempat-tempat pemeliharaan. Pendek kata dirumuskan bahawa semuanya serba lengkap dan moden.
Aktiviti Agama Islam
Orang-orang Melayu di keseluruhan Natuna adalah sebagai bumiputera yang datang dari pelbagai tempat: Patani, Semenanjung Malaysia, Kampar/Kuantan (Sumatera), Bugis, Banjar, Sambas, Brunei, dan lain-lain, semua mereka adalah beragama Islam, kecuali orang Pesuku masih animisme. Orang China pula masih menurut tradisi mereka.
Bahawa ulama terawal yang menghasilkan karya yang berasal dari Siantan, Natuna, yang dapat dikesan bernama Sheikh Abdul Wahhab Siantan. Karyanya ialah Hikayat Ghulam yang diterjemahkan dari bahasa Arab. Sheikh Abdul Wahhab Siantan adalah guru kepada Raja Ja'far Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke-6 (1805-1831 M).
Aktiviti penulisan ulama Siantan itu diteruskan lagi oleh dua orang ulama ialah Sheikh Abdullah bin Muhammad Siantan dan yang seorang lagi ialah Sheikh Abdullah bin Abdul Wahhab Siantan. Tidak perlu penulis panjangkan perkara ini kerana pengenalan sejarah mengenai tokoh ulama-ulama tersebut pernah dibicarakan dalam ruangan ini sebelumnya.
Masih ramai ulama dan intelektual Natuna yang belum sempat penulis perkenalkan, namun perlu juga disebutkan bahawa terdapat ulama Natuna yang pernah mengajar di Masjid al-Haram Mekah, seperti Sheikh Muhammad Nasir Pulau.
Salah seorang tokoh pejuang politik Riau yang paling menonjol pada zamannya, ialah Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad, iaitu anak kelahiran Pulau Midai, Natuna. Beliau pernah menyelesaikan sebuah karangannya berjudul Panduan Taruna di Ranai, ibu kota Natuna.
Kesimpulan
Dari gambaran di atas, dapat penulis simpulkan bahawa Natuna boleh menjadi satu kawasan perdagangan bersama antara Malaysia, Indonesia dan Thailand yang membentang dari Patani, Kelantan, Terengganu, Natuna dan Sarawak.
Hal ini barangkali dapat kita bandingkan dengan SIJORI (Singapura-Johor-Riau) ataupun seperti kawasan ekonomi di Utara Malaysia yang melibatkan Malaysia, Thailand dan Indonesia. Penghasilan Kabupaten Natuna terutama minyak dan gas juga dapat dimanfaatkan oleh masyarakat Kabupaten Natuna bagi meningkatkan taraf ekonominya.
Oleh kerana dalam Kabupaten Natuna majoriti penduduknya adalah beragama Islam, maka penanganan kepentingan Islam perlu lebih diutamakan dari semua kepentingan dan pembangunan selainnya.
Jika kita menoleh sejarah zaman silam, sejak pemerintahan asal Datuk Kaya hingga bergabung dengan Kesultanan Riau-Lingga-Johor dan Pahang adalah berperanan aktif dalam memasyarakatkan agama Islam


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3mMICivoR 
© Utusan Melayu (M) Bhd