PENDIDIKANAbang
Mursyidi melanjutkan pengajiannya di Mekah. Dipercayai beliau belajar
kepada beberapa orang ulama yang mengajar di Masjidul Haram, Mekah
terutama Syeikh Usman bin Abdul Wahhab Sarawak kerana sama-sama berasal
dari tempat yang sama.
Abang Mursyidi juga sempat mengikuti
pelajaran yang diberikan oleh guru kepada gurunya, Syeikh Usman bin
Abdul Wahhab Sarawak seperti Syeikh Ahmad al-Fathani, Sayid Bakri Syatha
dan lain-lain. Beliau belajar kepada ulama-ulama yang tersebut
dipercayai di bawah dua orang ketua tela`ah, iaitu Syeikh Usman bin
Abdul Wahhab Sarawak dan Tok Kenali Kelantan.
Ulama yang telah
diceritakan riwayatnya di dalam ruangan ini yang sebaya dengan Abang
Mursyidi (lahir 1294 Hijrah/1877 Masihi), yang sama-sama belajar di
Mekah ialah Syeikh Muhammad Sa'id, Negeri Sembilan (lahir 1292
Hijrah/1875 Masihi), Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar, Johor (lahir
pada tahun 1292 Hijrah/1875 Masihi), Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani
(1293 Hijrah/1876 Masihi), Haji Muhammad Sa'id Yan, Kedah (lahir 1294
Hijrah/1877 Masihi), Haji Umar Besut (lahir 1295 Hijrah/1878 Masihi).
Memperhatikan
tahun kelahiran ulama-ulama yang tersebut, maka yang benar-benar sama
tahun lahir dengan Abang Mursyidi Sarawak ialah Haji Muhammad Sa'id Yan,
Kedah. Kedua-duanya lahir pada tahun 1294 Hijrah/1877 Masihi.
Abang
Mursyidi ketika di Mekah lebih banyak belajar kepada Syeikh Usman bin
Abdul Wahhab Sarawak (lahir 1281 Hijrah/1864 Masihi) dan ulama-ulama
sebaya dengannya, antaranya ialah Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani
(lahir 1283 Hijrah/1866 Masihi), dan ramai lagi.
Selain belajar
kepada dua orang ulama dunia Melayu yang sebaya umurnya, Abang Mursyidi
juga belajar kepada ulama dunia Melayu yang lebih tua, yang sangat
masyhur namanya ialah Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atarid Bogor (lahir
1278 Hijrah/1862 Masihi). Beliau juga belajar kepada ulama-ulama bangsa
Arab, antaranya Syeikh Muhammad Sa'id Babshail, Mufti Mazhab Syafie di
Mekah pada zaman itu.
"...beliau
tidak mengabaikan dan melalaikan tanggungjawabnya sebagai ulama
penyebar ilmu mengajar di masjid dan madrasah yang diasaskannya. "
AKTIVITISetelah
memperoleh ilmu-ilmu teras keIslaman di Mekah, Abang Mursyidi pulang ke
Kuching. Peringkat awal kepulangannya, beliau dilantik menjadi imam,
khatib dan guru agama. Ketiga-tiga jawatan itu dilaksanakannya di Masjid
India, iaitu masjid kawasan yang berdekatan kelahirannya.
Sebagai
seorang guru agama di masjid, di surau dan di rumah, Abang Mursyidi
nampaknya belum begitu puas, lalu dalam tahun 1917 Masihi dilanjutkannya
dengan mendirikan sebuah madrasah yang dinamakan dengan Al-Madrasatul
Mursyidiyah.
Madrasah yang diasaskan oleh Abang Mursyidi tersebut
merupakan madrasah pertama di Kuching, bahkan yang pertama di negeri
Sarawak. Nama Mursyidiyah diberikan adalah sempena nama Abang Mursyidi,
namun beliau adalah seorang warak yang tidak suka menonjolkan diri,
senantiasa mengelakkan diri daripada riyak, barangkali kerana itulah
tindakan beliau selanjutnya menukar nama madrasah tersebut daripada
Al-Madrasatul Mursyidiyah menjadi Al-Madrasatul Islamiyah.
Untuk
lebih memperkemas pendidikan Islam bagi kaum perempuan, Abang Mursyidi
bersama dua orang sahabatnya, Datuk Petinggi Abang Haji Abdullah dan
Abang Haji Bolhasan telah berhasil mendirikan tempat pendidikan itu.
Tempat pendidikan perempuan dalam bidang al-Quran, akidah, fikah dan
lain-lain pengetahuan Islam asasi yang mereka dirikan itu dikenali
dengan nama Sekolah Kajang.
Aktiviti Abang Mursyidi sebagai
seorang Datuk Hakim, diriwayatkan bermula pada 23 Februari 1925. Dalam
masa yang sama dilantik juga sebagai Supreme Council dan Council Negeri.
Kemudian diangkat pula dengan gelar Datuk Imam pada 1 Julai 1932.
Dilantik menjadi pengadil darjah yang keempat pada 1 Ogos 1933.
Beliau
menjadi ahli jawatan Lembaga Peperiksaan bagi pegawai-pegawai tinggi
kerajaan pada 26 September 1936. Memperhatikan maklumat tersebut bererti
Abang Mursyidi adalah seorang ulama yang sangat aktif dalam seluruh
sektor aktiviti kepentingan pentadbiran dan kemajuan kerajaan negeri
Sarawak pada zamannya.
Selain aktiviti-aktiviti yang tersebut di
atas, Abang Mursyidi bersama beberapa orang ulama di Sarawak menubuhkan
Majlis Syuyukhil Islami. Kemudian pada 1 Mei 1955 nama itu bertukar
menjadi Majlis Agama Islam Sarawak. Mereka yang dianggap sebagai
pengasas pertubuhan tersebut ialah Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi
sebagai pencetus idea dan sebagai ketua pertubuhan. Sebagai anggota
ialah Mufti Abang Haji Nawawi, Tuan Haji Burhan, Abang Haji Julaihi, dan
Tuan Haji Muhammad Saleh.
Langkah Abang Mursyidi dalam
memperjuangkan pendidikan Islam dan lain-lain kepentingan Islam dan suku
kaum Melayu di Sarawak dalam zaman penjajah Inggeris ketika itu adalah
dipandang sangat bijak yang tidak akan ditemui pada peribadi yang tidak
bertanggungjawab terhadap agama Islam yang dianutnya, negeri kelahiran
dan bangsanya.
Walaupun Abang Mursyidi adalah Datuk Imam dan
Datuk Hakim, kemungkinan kedudukan yang tertinggi untuk orang Islam dan
Melayu di bumi Sarawak yang sedang dijajah oleh Inggeris ketika itu,
namun beliau tidak mengabaikan dan melalaikan tanggungjawabnya sebagai
ulama penyebar ilmu mengajar di masjid dan madrasah yang diasaskannya.
MURID-MURIDNYARamai
murid Datuk Hakim Imam Mursyidi yang menjadi ulama dan tokoh di
Sarawak. Mereka adalah generasi penerus penyebaran Islam. Sama ada
murid-murid Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi sendiri atau pun murid-murid
Al-Madrasatul Islamiyah yang beliau asaskan menurunkan murid yang ramai
pula, sambung bersambung sampai sekarang ini.
Bererti pahala amal
jariyah untuk Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi berjalan terus kerana ilmu
bermanfaat yang disebarkan dan madrasah tempat belajar ilmu yang
diwakafkan.
Antara murid Datuk Hakim Imam Mursyidi yang sempat
penulis temui berulang kali (tahun 1976 di Johor Bahru, terakhir di
Kuching, tahun 2003) ialah Haji Ataillah bin Syeikh Zainuddin
as-Sarawaqi.
Beliau adalah cucu Syeikh Usman Sarawak yang sangat
terkenal itu. Daripada Tuan Haji Ataillah, penulis banyak memperoleh
maklumat tentang ulama Sarawak terutama datuknya Syeikh Usman Sarawak
dan Haji Mursyidi yang diriwayatkan ini.
Ada hal menarik yang
masih dalam penelitian penulis, bahawa antara orang yang terdekat
hubungan dengan Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi adalah seorang ulama yang
berasal dari Sarawak bernama Haji Muhammad Saleh Sarawak. Penulis belum
dapat mempastikan apakah pada zaman yang sama terdapat beberapa orang
ulama Sarawak yang bernama Haji Muhammad Saleh atau hanya seorang.
Diriwayatkan
bahawa Haji Muhammad Saleh (belum diketahui nama orang tuanya) turut
bersama Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi mengasaskan Majlis Syuyukhil
Islami atau yang kemudian dinamakan Majlis Islam Sarawak. Haji Muhammad
Saleh ini belum diketahui secara jelas apakah murid beliau atau pun
sahabatnya.
Ada lagi yang bernama Haji Muhammad Saleh Arif,
beliau benar-benar murid Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi. Haji Muhammad
Saleh Arif diriwayatkan adalah seorang ulama yang suka merantau dan
pernah sampai ke Sambas, Kalimantan Barat.
Dengan maklumat di
atas, penulis masih tertanya-tanya, kerana adalagi seorang ulama Sarawak
bernama Haji Muhammad Saleh yang hidup sezaman dengan Datuk Hakim Imam
Haji Mursyidi yang menyebarkan Islam di Kalimantan Barat. Haji Muhammad
Saleh ini sangat terkenal, merantau dan menguasai penyebaran Islam di
beberapa tempat yang berjauhan, dan meninggalkan keturunan pula.
Tempat-tempat Haji Muhammad Saleh Sarawak pernah mengajar yang pernah
penulis jejaki ialah Pontianak, Ketapang, Sintang, Semitau dan Sungai
Bundung (Mempawah).
Oleh kerana terkenalnya ulama Sarawak itu,
maka penulis pernah berjalan kaki mulai Sambas, Seluas, memasuki Jagoi
Babang ke Serikin seterusnya sampai Kuching awal tahun 1970. Maklumat
yang diperoleh di Kuching tentang beliau tidak seimbang dengan jerih
payah merentas sungai dan jalan kaki yang demikian jauh.
KEKELUARGAANNYADatuk
Hakim Imam Haji Mursyidi mempunyai 8 orang adik beradik; Abang Ikram,
Abang Saad, Abang Asnawi, Abang Haji Azhari, Abang Juwaini, Datuk Hakim
Imam Abang Haji Mursyidi, Dayang Jinu dan Dayang Atut.
Beliau
mendirikan rumah tangga beberapa kali dan meninggalkan anak dan zuriat.
Perkahwinan yang pertama dengan Dayang Yong binti Abang Haji Matusin bin
Patinggi Gapur, memperoleh seorang anak, Abang Fadail. Setelah isteri
yang pertama meninggal dunia, Abang Mursyidi berkahwin lagi dengan
Dayang Hafidah dan memperoleh 8 orang anak; Abang Zainurin, Abang
Muhammad Zain, Abang Syafi'ie, Abang Usman, Dayang Munah, Abang `Abdul
Malik, Dayang Minah dan Dayang Diyun. Setelah Dayang Hafidah (isteri
kedua) meninggal dunia, Abang Mursyidi berkahwin pula dengan Dayang Siah
tetapi tiada memperoleh anak.
Daripada maklumat di atas dapat
diambil kesimpulan bahawa Datuk Hakim Imam Abang Haji Mursyidi mempunyai
ramai adik beradik dan ramai anak dan keturunan.
Al-Fatihah untuk almarhoum Syeikh...Al-Faaaatihah.
http://muhibmahbub.blogspot.com/2008/05/imam-haji-mursyidi-tokoh-muslim-sarawak.html